Ahad, 1hb Mei 2009…
Cuaca di luar kelihatan agak mendung walaupun sebelah paginya tadi pancaran matahari terik. Tiupan angin yang sepoi-sepoi di beranda rumah membuatkan kedaan terasa sedikit nyaman. Sambil membelek-belek batang joran dan kotak gewang, si Andy bertanya ; “bah, jam brapa kita mau jalan ni?”
“Tunggu sya tukar baju dulu, pas tu kita jalan. Nanti kalau lambat hujan pula.”, balas si Wayne yang baru balik menghadiri majlis perkahwinan rakannya.
Sekitar pukul 3.30pm, komplot yang dirancang sejak hari sebelumnya pun diteruskan. Perancangan komplot kali ini hanya melibatkan Andy & Wayne sahaja kerana Will yang pada ketika itu masih lagi melayan mimpi-mimpi indah keletihan. Perjalanan dari Ampang menuju ke Subang Jaya menyusuri lebuhraya MRR2 mengambil masa lebih kurang 30 minit.
Ketika sampai di Kolam Salim, jam sudahpun menunjukkan pukul 5pm kerana sebelumnya ahli-ahli komplot singgah dahulu sebentar untuk membeli umpan sebagai persiapan. Kelihatan pengunjung-pengunjung yang datang pada petang itu agak ramai dari kebiasaannya. Port biasa yang sering ahli kumpulan gunakan telahpun dipenuhi pemancing lain. Melihatkan suasana yang meriah itu, Andy & Wayne mencari port yang agak selesa untuk melabuhkan joran masing-masing.
Masing-masing yang hanya membawa set ringan nak mampos umpama set pancing udang (Length 4’5″ & 5′. Poundage 6-14lb Medium Action. Mainline Eupro mono 8lb) dan berbekalkan umpan hati/pedal ayam, cacing & dedak cuba mengadu nasib. Andy ada juga membawa satu lagi set pancing panjang sebagai taruhan balingan jauh.
Baru sahaja membaling umpan dan memacak joran, belum sempat pun mengepal umpan dedak untuk dijadikan umpan bom, si Wayne menunjuk-nunjuk pancing si Andy yang semacam dihenjut-henjut. Bergegas menerkam jorannya, si Andy teruja kegembiraan kerana mendapat sambaran pertama. Yaaaa~~ itu dia seekor keli seberat dalam anggaran 1kg++ menjadi hasil pertama. Dengan hati girang Andy menggulung pancing set ringannya perlahan-lahan sehingga ke tebing kolam……..namun malang tidak terduga apabila ikan hasil pertama itu jatuh semula ke air dan berjaya meloloskan diri di depan mata kerana tidak sempat dinaikkan sehingga ke darat dengan jayanya tanpa kehadiran tangguk. Oh kasihan…
Selang beberapa minit kemudian cacakan pancing Wayne kelihatan berhenjut sedikit demi sedikit dan kemudiannya membengkok. Itu diaaaa~ hasil kedua pancingan pada petang itu. Pancing digulung secepat mungkin…..namun setelah beberapa pusingan kekili, tarikan dirasa menjadi ringan. Arghhhh! terlepas juga!. Oh kasihan…
Tidak cukup dengan 2 sambaran, pancing Andy disentap lagi dan kali ini lawannya agak mendebarkan. Tarik punya tarik, mangsa membalas dengan kuat. Seketika kemudian kelihatan kelibat ikan yang menjadi lawan, seekor patin. Ditarik berhati-hati, akhirnya ikan berjaya didaratkan dengan selamat. Seekor patin seberat 1kg menjadi hasil pancing pertama yang rasmi petang itu.
Tidak lama selepas itu, hujan mulai turun dan pemancing-pemancing lain mulai meninggalkan kolam. Satu demi satu kenderaan para pemancing melewati kami untuk pulang.
Si Andy bertanya; “Macamana kita ini, sayang pula tidak bawa payung tadi dari rumah”
“Ko tau kenapa itu?”, balas Wayne.
“Au mokinongow…”, sahut Andy disusuli gelakan.
“Ko tunggu dulu sini, ada payung sya dalam kereta”, kata Wayne sambil pergi mengambil payung yang memang sentiasa ada di dalam kereta.
Berteduhkan payung yang muat-muat 2 orang, badan dipayung sambil cuba melindungi peralatan-peralatan pancing serta umpan yang dibawa. Dalam kehujanan yang lebat itu, 2 orang pemancing ini cuba bertahan dan kesejukan. Kilat kelihatan sabung menyabung dan hujan nampaknya belum reda namun semangat juang yang tegar terus membuatkan mereka ingin menunggu sehingga tempoh 3 jam yang dibayar tidak terbazir begitu sahaja.
Sehingga pukul 8:00pm, hujan masih lagi turun membasahi bumi dan pemancing berdua itu.
“Jam brapa sudah ni?”, tanya Andy yang melihatkan keadaan semakin gelap sepertinya sudah jauh malam.
“Uih nah! jam 8:30pm sudah ni. Terlebih stengah jam sudah kita tau.”,balas Wayne yang sambil terkuil-kuil mencari mata kailnya yang jatuh dalam kegelapan.
Setelah menyimpan apa yang patut, perjalanan destinasi berikutnya adalah balik ke markas. Lagipun hujan masih lagi belum berhenti pada masa itu. Namun komplot kali ini agak memuaskan walaupun berlaku beberapa kejadian yang agak meruntuhkan moral ahli kumpulan seperti, tali pancing bersilang dengan pancing orang, pancing putus & kejadian hujan lebat yang tidak reda-reda.
Komplot kali ini Andy membolot semua hasil pancingan. Hasil-hasil yang berjaya dinaikkan :-
- Patin = 3 ekor
- Pacu = 2 ekor
- Keli = 1 ekor
Manakala tragedi-tragedi yang menimpa :-
- Andy = hasil terlepas 2 kali, pancing terputus 1 kali.
- Wayne = hasil terlepas 3 kali, pancing terputus 2 kali.
Ini adalah hasil-hasil yang berjaya dibawa pulang,
Sekian, laporan untuk kali ini.
Leave a comment