Berkurun lama rasanya Biawak Anglers tidak melaporkan sebarang aktiviti untuk dimuatkan di laman blog ini. Sejak-sejak perpisahan ahli pada tahun lepas, gerakan-gerakan menggempur dan mencari lubuk-lubuk baru pun agak surut. Bukan kerana patah semangat atau hilang arah tujuan tetapi ini suatu lembaran perjalanan yang baru buat ahli-ahli kumpulan Biawak Anglers.
Sabtu, 18 September 2010.
“Pukul berapa kita mahu berangkat besok?” Tanya Alvin yang kedengaran berminat untuk trip memancing di Samarahan kali ini.
“Agak-agak pukul 7am kita berangkat ke Kpg. Plaman Baki dahulu untuk singgah mengambil Bujang, lepas tu kita terus bergerak ke Kota Samarahan. Terubuk dan yang lain-lain akan jumpa kita terus di Kota Samarahan.” Terang Wayne tentang perancangan perjalanan pada keesokan harinya.
“Umpan kita macamana?” Soal Alvin kembali.
“Kita pergi casting sahaja. Umpan tu pakailah gewang aku dahulu sementara belajar casting.” Sahut Wayne yang kebingungan memikirkan set pancing yang kelihatan tidak mencukupi. Kalau mengilat sahaja memang set pancing tidak cukup. Wayne ada 1 set pancing ringan manakala Alvin pula hanya ada satu. Untuk Bujang macamana?
Serentak dengan itu, Wayne menghantar teks pesanan ringkas kepada Terubuk untuk membawa set pancing lebih bimbang jika ada yang tidak memancing di sana nanti. Selesai berunding dengan Terubuk barulah kelihatan pandangan lega pada mukanya.
Ahad, 19 September 2010
Jam baru menunjukkan pukul 6am namun Wayne yang kini sudah berpindah ke kampung halamannya di Sarawak sudahpun bangkit dari tidur dan telah siap bersiram. Sambil menunggu Alvin, seorang sahabat memancing yang baru menceburi bidang mengilat, Wayne membelek-belek set pancing yang akan dibawa bersama untuk trip memancing hari ini.
Setelah mengagak segalanya serba mencukupi, Wayne dan Alvin memasukkan set-set pancing masing-masing ke dalam kereta. Bersarapan sudah, bekalan air pun sudah diisi, toolbox pun sudah diperiksa, nampaknya sudah tiba masanya untuk berangkat.
Jam menunjukkan pukul 6.45am, suasana masih lagi berkabus menandakan cuaca yang baik untuk sepanjang hari ini. Perjalanan dari rumah ke Kpg. Plaman Baki, Serian mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja. Dengan keadaan jalan pagi yang lenggang dan sejuk, perjalanan selama 15 minit itu dirasakan terlalu sekejap. Tahu-tahu sahaja sudah sampai ke destinasi. Ketika tiba di Kpg. Plaman Baki, Bujang masih lagi tidur. Maka terpaksalah Wayne dan Alvin menunggu sebentar sambil menghirup teh panas-panas dan kuih-muih yang disediakan oleh emak Wayne sementara menunggu Bujang mandi dan bersiap.
Setelah menunggu hampir setengah jam, barulah segalanya sedia untuk bertolak ke Kota Samarahan. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga di Kpg. Plaman Baki, mereka bertiga pun mengorak langkah menuju ke checkpoint seterusnya. Tempoh perjalanan dari Kpg. Plaman Baki ke Kota Samarahan mengambil masa lebih kurang 40 minit melalui Jalan Ensengei. Sepanjang perjalanan, kembara kali ini dihiasi pemandangan-pemandangan kampung-kampung dan ladang-ladang kelapa sawit serta sawah-sawah. Ini menambahkan lagi seri perjalanan sementara ingin sampai ke destinasi seterusnya.
Menjelang pukul 8.30am, mereka bertiga pun tiba di Kota Samarahan manakala Terubuk dengan rakan-rakan yang lain masih lagi dalam perjalanan dari Kuching.
Hampir setengah jam menunggu, barulah kelihatan konvoi Terubuk bersama anggota-anggota Geng Pemancing Sarawak tiba di lokasi perjumpaan. Berpandukan maklumat yang diterima oleh Terubuk, kolam memancing yang akan mereka tuju itu terletak di Asajaya. Daripada lokasi pertemuan, jarak perjalanan dianggarkan lebih kurang 30 – 40 minit bergantung kepada laluan trafik. Mengekori dari belakang, Wayne, Alvin dan Bujang menjangkakan kawasan pancingan itu adalah kolam ternakan air masin yang terbiar.
Menjelang pukul 10.00am mereka pun sampai ke tempat yang dijanjikan. Lokasi kali ini sebenarnya adalah sebuah kolam ternakan ikan air masin yang masih baru. Untuk menambahkan sumber pendapatan, pemilik kolam tersebut telah membuka kolam ternakan beliau untuk aktiviti-aktiviti mengilat di mana kadar yang dikenakan adalah PERCUMA. Tetapi sekiranya pemancing ingin membawa pulang hasil tangkapan, maka bayaran sebanyak RM14/kilo dikenakan ke atas tangkapan yang ingin dibawa pulang tersebut. Antara spesis-spesis ikan air masin yang terdapat di kolam tersebut adalah Siakap, Senangin, Kerapu dan Jenahak/Tetanda.
Antara hasil tangkapan di sana :-
Wayne yang pertama kali turun ke lapangan pancingan ini akhirnya menyemarakkan lagi semangan rakan-rakan yang lain dengan menaikkan seekor Siakap remaja. Sungguhpun menggunakan set pancing yang dipinjam daripada saudara Terubuk namun gandingan kekili mendatar Seahawk Bass 103L dan joran Lemax Slim Max 6lb – 15lb ini memang tidak mengcewakan….(jangan marah aa En. Terubuk)
Menjelang tengahari, hanya setakat itu sahaja yang berjaya dinaikkan oleh Wayne, Alvin dan Bujang. Seekor Siakap remaja seberat 700g dan seekor Senangin juga seberat 700g. Untuk trip kali ini Alvin yang baru pertama kali turun mengilat masih belum berjaya menaikan sebarang tangkapan. Sekitar jam 12.oo tengahari, mereka bertiga meminta diri untuk pulang ke Kpg. Plaman Baki.
Sungguhpun perjalanan pulang dirasa jauh sedikit berbanding di pagi hari tadi namun di kepala masing-masing masih lagi memikirkan bagaimana untuk menambahkan lagi kepuasan memancing pada hari itu. Perjalanan jauh tadi bagaikan agak kurang berbaloi memandangkan lokasi dan hasil tangkapan yang kurang memberansangkan.
Setelah berhenti rehat makan tengahari sambil berbincang aktiviti seterusnya, akhirnya mereka bertiga memutuskan untuk mencuba acara memancing dasar di salah sebuah kolam ternakan ikan air tawar berhampiran rumah di Kpg. Plaman Baki. Berbekalkan umpan roti paun dan sedikit biskut expired sebagai rasuah, mereka meneruskan acara memancing.
Begini lah hasil tangkapan yang mereka dapat dengan hanya 30 minit memancing.
Setelah kehabisan umpan dan memikirkan apa lagi yang harus dilakukan untuk memenuhi hari minggu yang gersang itu. Sekali lagi mereka berpindah lokasi ke sebuah kolam terbiar yang terletak di tengah-tengah kampung. Kolam terbiar tersebut dahulunya adalah sebuah kolam ternakan ikan talapia dan tapak tadahan air untuk aktiviti pertanian dan berkebun namun setelah sekian lama ditinggalkan tidak terurus, ianya menjadi sebuah tempat pembiakan haruan dan spesis-spesis ikan liar setempat.
Mencuba nasib di kedua-dua kolam terbiar itu, beginilah hasilnya :-
Alvin yang kali pertama turun mengilat turun mendapat karan apabila berjaya mendaratkan seekor haruan berskala 500g menggunakan gewang jenis Mr. Tanaka Froggy warna hijau muda.
Beberapa minit selepas Alvin mendaratkan Haruan nya, Wayne pula terkena strike dan menaikkan seekor lagi Haruan menggunakan gewang Rod Ford Minnow 7cm tetapi saiznya agak kecil daripada yang sebelumnya.
Sehingga jam 6pm, mereka bertiga berjaya memenuhi hari dan aktiviti mereka pada hari itu dengan seekor Siakap, seekor Senangin, seekor Jelawat dan 3 ekor Haruan. Siakap dan Senangin berjaya dilepaskan semula untuk pancingan kaki-kaki mengilat di masa akan datang manakala Jelawat dan Haruan dibawa pulang untuk santapan sekeluarga.
Dengan berakhirnya laporan ini, maka tamatlah trip memancing Kota Samarahan-Serian untuk kali ini. Semoga di masa-masa akan datang akan lebih banyak lagi laporan-laporan yang akan disediakan serta padang-padang pancingan baru yang akan diterokai untuk tatapan dan rujukan para pembaca sekalian.
Sekian. Terima Kasih





